Tuesday, September 29, 2009

Kakitangan PERPUSTAM Disaran Pertingkat Ilmu

PENGERUSI Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM), YB Datuk AB Wahab Ab Latip meminta supaya semua pegawai dan kakitangan PERPUSTAM dapat mempertingkatkan mutu perkhidmatan mereka kepada orang ramai yang berurusan dengan mereka di perpustakaan.
Menurut Ab Wahab, disamping itu, mereka juga perlu mempertingkatkan ilmu pengetahuan mereka sebagai penjawat awam kerana dengan adanya ilmu, ia secara tidak langsung akan dapat membantu mempertingkatkan mutu perkhidmatan perpustakaan.
Katanya, sekiranya pegawai dan kakitangan terbabit tidak mempunyai ilmu yang cukup, sudah pasti mutu perkhidmatan yang terbaik tidak dapat diberikan kepada pengguna dan ini sekaligus akan memberi kesan yang tidak baik kepada imej jabatan.
"Saya berharap supaya semua pegawai dan kakitangan PERPUSTAM akan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka kerana ini secara tidak langsung akan dapat meningkatkan budaya prestasi kerja yang tinggi,"katanya.
Beliau berkata demikian di majlis Perhimpunan Pagi PERPUSTAM kali ke-4 di Dewan Serbaguna PERPUSTAM, dekat sini pada 28 September 2009.
Hadir sama Timbalan Pengerusi PERPUSTAM, Abu Bakar Abdol, Ahli Lembaga Pengarah PERPUSTAM dan 150 kakitangan PERPUSTAM.
Pada majlis itu, bekas pemandu PERPUSTAM, Allahyarham Daud Md Rahim telah diiktiraf menjadi Pekerja PERPUSTAM Paling Cemerlang bagi bulan Julai - September 2009.
Allahyarham yang dilahirkan pada 1 Ogos 1965 telah bertugas di PERPUSTAM pada 3 Mei 1993 sebagai Pemandu dan tidak pernah mengambil cuti sakit sejak beliau mula berkhidmat dan pernah menerima Anugerah Khidmat Cemerlang 2005 daripada Kerajaan Negeri dan meninggal dunia pada 3 Julai 2009.
Menurut Ab Wahab, kakitangan PERPUSTAM juga mesti memiliki semangat kerja dan budaya ketepatan dengan tidak hanya meletakkan sasaran yang tinggi, sebaliknya perlu melaksanakan sasaran itu dengan jayanya.

No comments:

Post a Comment